Kerjaya muzik Tom (penyanyi)

Sebelum menyertai program realiti TV My Starz LG musim ketiga, Tom pernah bekerja sebagai penyanyi kelab malam di sekitar bandar Kuala Lumpur sebagai rezeki pendapatan beliau untuk menyara hidupnya. Sebelum bergelar artis, beliau juga turut mengembangkan bakat nyanyiannya dengan menyertai sebuah pertandingan pertunjukan bakat, iaitu World Championship Performing Arts (WCPA) pada tahun 2009 yang diadakan di Los Angeles dimana ketika itu beliau turut berkongsi pentas bersama artis-artis luar negara dan penyanyi tempatan seperti Siti Sarah Raisuddin, Bob AF2 dan Asmidar.[3] Namun, sayangnya kejayaan beliau yang turut memenangi pingat emas di dalam pertandingan tersebut tidak mendapat perhatian daripada pihak media disebabkan ketika itu beliau bukan daripada golongan artis.[4] Namun keadaan tersebut tidak sedikitpun mematahkan semangatnya untuk bergelar anak seni. Pada tahun 2010, Tom sekali lagi mencuba nasib dengan menghadiri ujibakat My Starz LG dan hasilnya beliau terpilih diantara 10 peserta program realiti TV tersebut. Setelah beradu suara hampir 12 minggu, beliau dinobatkan sebagai juara My Starz LG musim ketiga. Kejayaan Tom tersebut sekaligus mengekalkan takhta juara wanita yang ketiga dalam program realiti TV terbitan TV3 tersebut selepas Tasya (musim 1) dan Wana (musim 2). Beliau kemudian mengikat kontrak bersama Warner Music Malaysia dan pada Disember 2010 beliau telah menerbitkan album rakaman pertamanya berjudul Redha. Dua buah lagu hits daripada album tersebut ialah Lagu Untuk Kuala Lumpur dan Redha sering diputarkan dicorong radio pada ketika itu.